Ahad, 9 Oktober 2011

Amalan Bulan Zulhijjah

UMAT Islam kini berada dalam Zulhijah, bulan terakhir dalam kalendar
Islam. Bulan ini mengandungi beberapa kelebihan, terutama ibadat
haji dan korban.

Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu `Abbas bahawa Rasulullah
SAW bersabda bermaksud: "Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan
padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu
sepuluh hari Zulhijah." Sahabat bertanya : "Apakah juga
(pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah?" Ujar
Baginda: "Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali
bagi seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak
membawa pulang apa-apa pun."

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Ibnu `Umar bahawa Baginda
bersabda : "Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai
kelebihan melainkan pada hari-hari sepuluh Zulhijah ini, oleh kerana
itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir
(Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)."

Ibnu Hibban di dalam kitab sahihnya meriwayatkan daripada Jabir
bahawa Baginda bersabda: "Seutama-utama hari adalah hari Arafah."

Jenis amalan yang dianjurkan:

Menunaikan ibadat haji dan umrah yang juga sebaik-baik amalan.
Banyak hadis yang menyatakan kelebihan ibadat ini, antaranya sabda
Nabi: "Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang
dilakukan di antara kedua-duanya dan haji yang baik (diterima) tiada
baginya balasan melainkan syurga."

Berpuasa pada hari itu atau sekadar kemampuannya, terutama pada hari
Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang
terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti dinyatakan di dalam
sebuah hadis qudsi bermaksud: "Puasa itu adalah bagi-Ku dan Akulah
yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan
minumannya semata-mata kerana-Ku."

Daripada Abu Sa'id al Khudri berkata, Rasulullah bersabda : "Tiada
seorang pun yang berpuasa pada satu hari di jalan Allah melainkan
Allah menjauhkan dengan puasanya itu mukanya daripada api neraka
sejauh tujuh puluh tahun." (Muttafaq `alaih).

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abi Qatadah bahawa Rasulullah
bersabda: "Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan
menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang."

Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah
bermaksud : "(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa
hari yang termaklum)." Hari itu dijelaskan sebagai 10 hari di
Zulhijah.

Oleh itulah, ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada
hari itu seperti mafhum hadis Ibnu `Umar yang diriwayatkan oleh Imam
Ahmad antaranya : "Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil
(La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu
Lillah)." Imam Al Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu `Umar dan Abu
Hurairah pada hari itu selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti
oleh orang ramai.

Imam Ishaq meriwayatkan bahawa fuqaha (ahli fikah) di kalangan
tabien (generasi selepas sahabat Nabi) sentiasa membaca pada hari
itu "Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu
Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu".

Adalah amat digalakkan supaya suara ditinggikan ketika bertakbir di
pasar, rumah, jalan, masjid dan selainnya berdasarkan firman Allah
bermaksud : "Dan supaya kamu membesarkan (bertakbir) Allah di atas
nikmat-Nya menghidayat kamu)."

Dibolehkan pada hari itu berzikir dengan zikir lain dan segala doa
baik.

Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan
amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana
maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba
daripada rahmat Allah, manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan
kasihnya Allah kepadanya.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Baginda
bersabda : "Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila
seseorang hamba-Nya melakukan perkara yang ditegah-Nya."
(Muttafaq `alaihi).

Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan sunat tambahan
seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, membaca al-Quran, menyeru
kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya. Hal ini
kerana semuanya akan digandakan pada hari itu.

Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil, lebih disukai oleh
Allah berbanding hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti
berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang
terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari itu melainkan
apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan
darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu
siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu
yang dikerjakan secara berjemaah.

Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari
Subuh hari Arafah (9 Zulhijah) dan bagi yang menunaikannya takbir
bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijah). Semuanya
berakhir sehingga waktu Asar pada hari 13 Zulhijah.

Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari
raya haji dan hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijah). Ia adalah
sunnah (amalan) Nabi Ibrahim selepas Allah mengujinya dengan
perintah menyembelih anaknya, Nabi Ismail tetapi ditebus ujian itu
dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

Imam Muslim meriwayatkan daripada Ummu Salamah bahawa Nabi
bersabda : "Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijah dan ada
di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan),
hendaklah dia menahan dirinya daripada (memotong) rambut dan
kukunya."

Di dalam riwayat lain : "Maka janganlah dia memotong rambut dan
kukunya sehinggalah dia berkorban."

Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi
mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari
kampung mereka yang dijelaskan oleh Allah, maksudnya : "Dan
janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan
(yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Makkah) itu
sampai ke tempatnya."

Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus
kepada pemilik haiwan korban itu saja dan tidak termasuk isteri dan
anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpama. Tidak
mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya
kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

Setiap Muslim hendaklah berusaha untuk menunaikan solat hari raya
secara berjemaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh imam
selepas selepas solat itu supaya mendapat pengajaran daripadanya.

Penuhilah hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir,
bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya dan
mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-
Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan